Baduk Kg. Batu Marang

Baduk mula digunakan di Kampong Batu Marang kira-kira lebih dari 80 tahun oleh pengasas awalnya iaitu ketua kampong Pengiran Buntar. Ia bermula atas perkenan dari Allahyarham Begawan Sultan Hj Omar Ali Saifuddien. Baduk ini terletak di hadapan masjid Kg. Batu Marang dan masih dikekalkan hingga kehari ini. Baduk asal sebenarnya telah dipindah dan disimpan di bangunan Muzeum Brunei kira-kira pada tahun 1990an dan digantikan dengan baduk yang ada sekarang. Baduk ini biasanya dipukul oleh imam atau bilal masjid ini. Irama dan rentak pukulan baduk adalah berbeza seperti menandakan masuk waktu sembahyang, waktu bersungkai, bersahur, hari raya dan ketika ada kematian atau kecemasan. Ini berfungsi untuk memaklumkan dan sebagai bentuk pemberitahuan kepada penduduk kampong.



Baduk di Masjid Kg. Batu Marang

Menurut imam Masjid Kg. Batu Marang, Haji Ahmad bin Haji Bini, 64 tahun, baduk lama yang asal dibuat oleh Hj Naim bin Ahmad bersama Ampuan Hj Kula, Awang Yusup, Hj Ghani dan Pg. Abdul Razak. Manakala Baduk kedua pula pada mulanya dibawa dari Sundar oleh Pg. Hj Kamaluddin Bin Pg. Hj Abu Bakar, namun oleh kerana ia tidak berfungsi dengan baik (tidak nyaring), akhirnya baduk ini diubah suai secara bergotong-royong oleh penduduk kampong. Antaranya Hj Abdul Latip dan Hj Ibrahim. Menurut cerita atau mitosnya, baduk melaungkan bunyi yang sangat nyaring, sehingga mampu didengar oleh penduduk Kampong Sundar. Kononnya juga mengejutkan ikan-ikan sehingga 'berlompatan' ketika waktu subuh.

Sehingga sekarang, baduk ini masih disimpan di kampong ini, akan tetapi tidak lagi digunakan. Baduk ini mula diberhentikan penggunaannya, sejak adanya teknologi baru seperti pembesar suara(loud speaker) telivisyen dan radio bahkan hampir setiap rumah memilikinya. Menurut beliau juga, di kampong ini mempunyai perancangan untuk menggunakan kembali baduk melalui seorang ahli tukang yang berhasrat untuk memperbaharui baduk ini dan pondoknya. Baduk ini diharapkan  berfungsi aktif sebagai penanda waktu-waktu sembahyang iaitu selain daripada menggunakan alat pembesar suara masjid.