Bahan dan Proses Pembuatan

Kaedah pembuatan baduk sama dengan pembuatan gendang tetapi baduk mempunyai sukatan yang besar dan berbeza dari segi bentuk fizikalnya sama ada panjang, lebar, kecil atau besar dan ia juga menghasilkan suatu bunyi yang berbeza. Salah satu bahagian hujung baduk terbuka dan bahagian yang satu lagi ditutupi dengan kulit binatang. Baduk diperbuat daripada sebatang kayu keras atau pohon kayu seperti kayu marak, kayu mengaris,kayu kapur atau kayu madang dan ada juga dari batang pokok Piasau. 



Membuat baduk memakan masa kira-kira satu hingga dua bulan untuk disiapkan. Mula-mula kayu besar atau pokok yang sudah cukup tua ditebang kira-kira 1.5 meter untuk membuat badan baduk. Bahagian tengah kayu ataupun pokok pula akan dikorek dengan meninggalkan bahagian luarnya setebal kira-kira 2 inci. Panjang ukuran baduk ini biasanya 140cm dan garis pusatnya (diameter) ialah 49cm.


Kayu besar atau pokok yang sudah ditebang

Bahagian dalaman dan hujung baduk yang terbuka


Dibahagian hadapan baduk ini ditutupi dengan kulit binatang. Bahagian ini dipanggil Sahab. Sahab diperbuat daripada kulit binatang sama ada kulit kambing, kerbau atau rusa (payau/kijang). Kulit kerbau, lembu ataupun rusa yang kering itu direndam ke dalam air yang bercampur dengan garam selama satu malam. Menurut pendapat, kulit rusa lebih baik untuk menghasilkan bunyi yang kuat, akan tetapi ia mudah rosak atau koyak kerana kulitnya nipis. 




Kulit binatang yang sudah lembut akan disematkan dihujung kayu turas yang sedia dipasang dengan gelang rotan yang dikencangkan dengan menggunakan kayu baji. Setelah itu, baduk yang sudah dipasangkan kulit binatang itu akan dijemur sehingga kulit binatang yang telah dipasang cukup kencang dan boleh dipalu. Bulu kulit binatang yang telah dipasang akan dibiarkan begitu sahaja dan ia akan tanggal apabila aktiviti memalu dilakukan, namun kadangkala bulu kulit binatang tersebut akan dicukur habis setelah proses pengeringan dilakukan.


Manakala, pemukul baduk pula diperbuat daripada bebuluh, rotan atau akar bakau, biasanya ringan dan ‘melantur’ atau bengkok sedikit. Baduk biasanya diletakkan di atas kekuda khas, digantung atau disangkut pada alang beranda surau.



baduk diletakkan di atas kekuda khas

baduk diletakkan di atas alang beranda surau/masjid


Baduk digantung pada beranda atau pondok